Rabu, Oktober 09, 2013

Welcome to The Land Down Under...


      Ya, dah hampir 6 bulan aku berada di sini.  Di Brisbane, Australia.  Jika diimbas kembali, sebaik sahaja konvokesyen Master selesai, aku terus gunakan transkrip yang masih panas tu untuk mohon sambung PhD di University of Queensland (UQ), Australia.  Banyak faktor bagaimana UQ boleh menjadi pilihan utama aku.  Dipendekkan cerita, supervisor lama aku yang beri nama supervisor baru ni. Kemudian aku berusaha sendiri untuk hubungi beliau dan hantar permohonan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim...   Alhamdulillah permohonan diterima!  Kemudian gunakan dokumen CoE dari UQ untuk mohon visa, translate sijil-sijil, hantar borang permohonan cuti belajar, ambil IELTS, renew passport satu family, komunikasi dengan persatuan pelajar di sana, dan yang paling sedih kemas rumah.. terasa sungguh nak berjauhan dengan saudara-mara masa kemas rumah tu..

      Alhamdulillah tiket kami sekeluarga kakitangan pendaftar uruskan, transport dari airport ke rumah transit pula persatuan pelajar Queensland (PPMQ) banyak membantu.  Duduklah kami seminggu di rumah transit, kemudian 3 bulan di unit sendiri (tempat yang sama).  Akhirnya bulan 7 dapat juga kami merasa duduk di rumah/unit sendiri.  Memadailah kontrak sewa (lease) 6 bulan terlebih dahulu.
 
     Macam tak percaya sudah hampir 6 bulan kami sekeluarga berada di sini.  Australia atau gelarannya The Land Down Under.  12 April 2013 tarikh kami menjejakkan kaki di sini buat kali pertama. Hanif baru umur 2 tahun lebih, Syafiq pula tak sampai setahun.  Kami tiba di kala musim luruh bakal melabuhkan tirainya.  Kami melalui musim sejuk yang agak sederhana, dengan suhu terendah sekitar 10°C.  Kini musim bunga, habis pokok-pokok di kiri kanan apartment kami dipenuhi bunga.

      Napi ambil cuti tanpa gaji 3 tahun, satu pengorbanan yang sangat-sangat aku hargai.  Aku tau, tak mungkin aku berani ke sini seorang diri tanpa mereka semua.  Aku bukan kuat sangat, aku bukan tabah sangat.  In Shaa Allah berkat doa dari mereka, kawan-kawan dan saudara-mara kami, aku akan kuatkan diri dan semangat untuk habiskan PhD ni.

      Untunglah di sini ada PPMQ.  Ramai ahli-ahli PPMQ yang saling bantu-membantu sekiranya ada kesukaran yang dihadapi di sini.  Sekali-sekala ada juga program yang diselitkan untuk pengisian ahli keluarga dan anak-anak di sini.  Ramai juga yang berkongsi pengalaman dalam apa-apa perkara yang perlu diuruskan di sini seperti membeli kenderaan, restoran-restoran halal, pasar-pasar yang menjual produk makanan Malaysia dan banyak lagi.  Setiap pagi Sabtu diadakan pula pasar di salah sebuah rumah pelajar.  Sesiapa pun, tak kira pelajar mahupun pelancong, yang datang untuk melepas rindu menjamah juadah Malaysia pasti tidak akan berasa hampa. 

      Ok lepas ni aku update lagi dengan pengalaman-pengalaman kami di sini.  Baru-baru ni kami pergi menonton Santos City of Lights dan Sunsuper Riverfire.  Kalau ada kelapangan lah.  PhD ni memang lain sikit cabarannya.  Jarang-jarang sangat terasa lapangnya hehe..