Rabu, Mac 09, 2016

Bila Melakar Gambarajah (Diagram) di Dokumen Word

Ye, ye.  Tajuk yang sangat membosankan.  Lakaran gambarajah, atau bahasa Inggerisnya diagram antara tugasan yang sangat menyakitkan kepala aku yang kurang kreatif ini apabila nak menyiapkan laporan atau artikel ilmiah.  Terasa bertambah-tambah pula sakit kepalanya jika menggunakan fungsi lakaran yang sudah tersedia ada dalam Microsoft Word.

Di sini aku kongsikan tips yang aku jumpa di sini.  Rupa-rupanya terdapat banyak perisian lakaran gambarajah yang boleh digunakan secara percuma. Hanya memerlukan akaun Google dan Google Drive.



Buat masa ni aku gunakan Draw.io.  Sambil-sambil tadi aku mencuba juga Lucid Chart.  Walaupun LucidChart kelihatannya seperti berbayar, namun ada disediakan pilihan akaun percuma untuk pelajar dan kakitangan pendidik, dengan cara mendaftar menggunakan akaun e-mel rasmi institusi pengajian tinggi yang dimiliki di sini.

Percubaan pertama? Rasa seperti lebih mudah dari fungsi yang sedia ada di Microsoft Word.  Lega! Cukuplah buat masa ini.  Andai sampai masanya sakit kepala muncul kembali, masih ada lagi tiga atau empat perisian yang hampir sama yang boleh aku cuba.




Khamis, Oktober 08, 2015

Masalah Memindahkan Gambar dan Klip Video dari Tablet dan Telefon Pintar?

Masalah memindahkan koleksi imej dan video yang dirakam di dalam telefon pintar merupakan masalah yang boleh diatasi dengan pantas dan mudah, dengan menggunakan gadget yang bersesuaian.  Kali ini, aku ingin memperkenalkan sebuah gadget yang dibeli oleh suami untuk menyelesaikan masalah ini.




*gambar hiasan diambil dari www.legitreviews.com

Kingston MobileLite Wireless G2 merupakan peranti wireless yang kami pilih.  Banyak video di YouTube, seperti yang di bawah ini yang membantu kami dalam membuat pilihan.


Kami memilih Kingston MobileLite Wireless G2 berdasarkan beberapa ciri-ciri:
  1. Bersaiz kecil. Gadget ini hanya sebesar tapak tangan sahaja, dan agak nipis.
  2. Mudah dibawa ke mana-mana.  Memandangkan saiznya yang kecil, ia boleh muat di dalam poket mahupun beg.
  3. Ringan. Berat gadget ini hanyalah 171 gram.
  4. Kurang bergantung kepada wayar.  Hanya satu wayar (USB - micro USB, dibekalkan) sahaja diperlukan oleh gadget ini untuk fungsi-fungsi tertentu, iaitu ketika gadget ini dicaj, ketika menggunakan gadget ini sebagai card reader dan selainnya.
  5. Hayat bateri yang lama (sehingga 13 jam). Ya, gadget ini memiliki bateri dalaman.
  6. Mesra dengan pelbagai jenis tablet dan telefon pintar (iPad2, iPad (3rd Gen), iPad (4th Gen), iPad mini, iPad Air3, iPhone 4/4S/53, iPod touch3, Kindle Fire, Kindle Fire HD, Android (4.0+)).
  7. Menyokong format imej (jpg, tif), audio (mp3), video (m4V, mp4 (H. 264 video codec)) dan dokumen yang biasa kami gunakan (pdf).
  8. Memiliki beberapa fungsi lain seperti fungsi card reader, peranti hotspot,  power bank dan lain-lain.

Memandangkan kami di Brisbane, kami membeli Kingston MobileLite Wireless G2 ini melalui Ebay.com.au.  Di Malaysia, Lazada ada menawarkan gadget ini pada harga yang berpatutan.

Jika ingin membeli gadget seumpama ini dari penjual online yang menawarkan harga yang lebih murah, berhati-hati.  Luangkan masa terlebih dahulu untuk menonton video-video seperti di atas di YouTube untuk mengenal pasti ciri-ciri gadget yang asli sebelum melakukan sebarang pembelian.