Sumber: Goldcoasttickets.com.au
Perhatian: Segala maklumat di dalam entri ini adalah sah sewaktu tarikh semasa penulisan entri ini. Walau bagaimanpun, para pembaca digalakkan untuk memeriksa kesahihan sesuatu maklumat yang diperolehi dan elakkan daripada penerimaan secara bulat-bulat.
*Dikemaskini pada 20 November 2016
Entri ini dah lama sangat ditangguhkan disebabkan masa yang diperlukan untuk mengumpulkan maklumat-maklumat yang berkaitan. Buat permulaan, aku senaraikan beberapa maklumat asas yang dirasakan penting untuk pelancong Malaysia yang PERTAMA KALI melawat Gold Coast. Untuk pelancong tegar, mungkin maklumat di sini tidaklah membantu sangat rasanya. Bezanya entri ini dengan entri-entri di blog lain adalah isu bajet perbelanjaan dan itinerari perjalanan tidak akan dibincangkan. Yang ingin ditekankan adalah pilihan-pilihan yang ada supaya persiapan sebelum tiba ke Brisbane/Gold Coast akan menjadi lebih teratur.
Maklumat asas berkaitan Gold Coast ini dibahagikan kepada beberapa bahagian:
- Pilihan Tukaran Wang
- Akses ke Lapangan Terbang
- Pilihan Penginapan
- Pilihan Pengangkutan
- Pilihan Makanan (Halal)
- Masjid/Ruang Solat
- Pilihan Kedai Cenderamata
- Pusat Membeli-Belah
1. Pilihan Tukaran Mata Wang
Berdasarkan pengalaman menetap di Brisbane selama 3 tahun, jika tukaran mata wang dilakukan di Brisbane/Gold Coast, ia adalah lebih mahal berbanding melakukan tukaran mata wang di Malaysia. Sebaiknya beberapa minggu sebelum bertolak, cuba dapatkan pengurup wang yang menawarkan kadar termurah di Malaysia. Dapatkan wang tunai Australian Dollar (AUD) yang dirasakan mencukupi. Sekiranya anda mengenali sesiapa sama ada rakan atau saudara yang menetap di Brisbane, anda boleh juga cuba meminta bantuan mereka untuk menguruskan penukaran wang dengan para pelajar ataupun pemaustatin tetap Malaysia berdasarkan kadar tukaran semasa di Google.
Pihak Kastam Australia mensyaratkan bahawa apa-apa nilai wang tunai yang melebihi AUD10,000 perlu dilaporkan kepada pihak Kastam Australia sebaik mendarat di lapangan terbang.
2. Akses ke Lapangan Terbang
Satu-satunya lapangan terbang yang ada di Gold Coast adalah Coolangatta Airport (OOL). Ada dua pilihan untuk pelancong Malaysia tiba ke sini. Pertama sekali mestilah tidak lain tidak bukan melalui penerbangan tempatan, Air Asia. Namun, untuk pelancong dari kawasan selatan Semenanjung Malaysia, mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan negara jiran Singapura, Scoot. Laman web seperti SkyScanner dan Adioso amat berguna dalam memudahkan pencarian kadar tambang yang terbaik. Bagi pelancong yang ingin menjadikan Brisbane sebagai salah satu destinasi di dalam itinerari pelancongan, mereka boleh juga memilih penerbangan dari KLIA (KUL) ke Brisbane (BNE) dari mana-mana perkhidmatan penerbangan dunia.
3. Pilihan Penginapan
Untuk mereka yang agak cerewet dengan makanan dan mahukan pakej yang memudahkan pergerakan meskipun tidak membeli pakej pelancongan yang sedia ada di Malaysia, terdapat beberapa pemaustatin tetap rakyat Malaysia yang menawarkan pakej yang hampir serupa. Contohnya seperti DI SINI dan SINI. Biasanya mereka mengiklankan perkhidmatan mereka di dalam laman sosial seperti Facebook.
Selain itu, banyak pilihan penginapan yang boleh didapati melalui Agoda, AirBNB dan juga TripAdvisor.
4. Pilihan Pengangkutan
Kadangkala, pengendali perkhidmatan penginapan, pemandu pelancong dan pengangkutan ditawarkan sebagai satu pakej lengkap oleh beberapa pihak. Contohnya seperti DI SINI dan SINI. Terdapat juga pelajar-pelajar Malaysia yang menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong dan airport shuttle. Biasanya mereka mengiklankan perkhidmatan mereka di dalam laman sosial seperti Facebook.
Selain itu, pelancong Malaysia boleh juga memilih untuk menyewa dan memandu kenderaan sendiri di sini. Penyewaan kenderaan boleh dilakukan sebaik sahaja mendarat di lapangan terbang, dengan mendekati kaunter-kaunter perkhidmatan sewa kenderaan di lapangan terbang. Walau bagaimanapun, seandainya tarikh percutian adalah di sekitar Disember, disarankan agar penempahan kenderaan dilakukan satu atau dua bulan lebih awal secara atas talian (online). Ini kerana bulan Disember sehingga Januari merupakan bulan percutian yang amat panjang buat warga Australia, dan kadangkala permintaan pasaran tempatan untuk penyewaan kenderaan agak tinggi. Di antara syarikat perkhidmatan kenderaan sewa yang boleh dipercayai adalah Thrifty, Hertz, Avis dan Budget. Jika penempahan kenderaan dilakukan secara atas talian, sebaiknya pilih syarikat yang berupaya untuk menyediakan pilihan untuk mengambil dan memulangkan kenderaan sewa di lapangan terbang. Dan yang paling penting, pastikan lesen memandu anda belum tamat tempoh!
Perjalanan dari Brisbane ke Gold Coast akan melalui lebuhraya yang agak besar dan selesa. Namun, pemandu perlu berhati-hati kerana had kelajuan di Australia adalah berbeza dengan Malaysia. Kadangkala terdapat pasukan polis peronda yang akan memantau kesalahan di atas jalan raya. Selain itu, lebuhraya M1 (M1 Motorway) menyediakan laluan yang tidak bertol. Elakkan dari mengambil laluan CLEM7 sekiranya anda tidak bersedia untuk membayar tol. Ini merupakan laluan di dalam terowong yang membawa pemandu merentasi sungai Brisbane melalui jalan di bawah tanah. Di kawasan bandar Brisbane pula, terdapat beberapa jambatan yang menghubungkan di antara kawasan Auchenflower (Utara) dan South Brisbane (Selatan). Elakkan dari mengambil jambatan bertol seperti Go Between Bridge kerana terdapat jambatan alternatif yang tidak mengenakan sebarang bayaran. Untuk memudahkan pemanduan, ubah konfigurasi peranti GPS yang biasanya disediakan oleh penyewa kenderaan dengan memilih pilihan "Tolls" di bahagian "Avoidance"
Perjalanan dari Brisbane ke Gold Coast akan melalui lebuhraya yang agak besar dan selesa. Namun, pemandu perlu berhati-hati kerana had kelajuan di Australia adalah berbeza dengan Malaysia. Kadangkala terdapat pasukan polis peronda yang akan memantau kesalahan di atas jalan raya. Selain itu, lebuhraya M1 (M1 Motorway) menyediakan laluan yang tidak bertol. Elakkan dari mengambil laluan CLEM7 sekiranya anda tidak bersedia untuk membayar tol. Ini merupakan laluan di dalam terowong yang membawa pemandu merentasi sungai Brisbane melalui jalan di bawah tanah. Di kawasan bandar Brisbane pula, terdapat beberapa jambatan yang menghubungkan di antara kawasan Auchenflower (Utara) dan South Brisbane (Selatan). Elakkan dari mengambil jambatan bertol seperti Go Between Bridge kerana terdapat jambatan alternatif yang tidak mengenakan sebarang bayaran. Untuk memudahkan pemanduan, ubah konfigurasi peranti GPS yang biasanya disediakan oleh penyewa kenderaan dengan memilih pilihan "Tolls" di bahagian "Avoidance"
Sumber: iDownloadBlog
Sistem pengangkutan awam di Gold Coast dan Brisbane moden dan mudah, disebabkan jaringan perhubungan pengangkutan, lokasi stesyen/perhentian yang dekat dan kekerapan pengangkutan awam yang tinggi. Di Gold Coast, pelancong boleh memilih untuk menaiki bas dan trem untuk perjalanan dekat, ataupun keretapi untuk perjalanan jauh sehingga ke Brisbane, mahupun Sunshine Coast. Manakala di Brisbane pula, jangan lepaskan peluang untuk menelusuri sungai Brisbane dengan menggunakan perkhidmatan feri sungai, CityCat.
Apa yang diperlukan adalah dua benda:
5. Pilihan Makanan
Pengendali perkhidmatan pelancongan oleh para pemaustatin tetap rakyat Malaysia biasanya ada menyediakan pakej makanan sekali.
Sumber: QSRmedia.com
Sepanjang berada di Brisbane, jika makan luar, antara makanan kegemaran aku adalah kebab. Ini juga merupakan pilihan makanan paling selamat untuk pelancong yang beragama Islam. Namun seandainya ragu-ragu, jangan segan untuk bertanya status makanan tersebut kepada pelayan kedai. Ini kerana Australia juga memiliki beberapa badan pengesahan halal, dan biasanya pengendali makanan di Brisbane/Gold Coast peka mengenai isu makanan halal, allergi makanan dan juga isu vegan/vegetarian. Masjid juga merupakan pusat rujukan yang baik berkenaan dengan isu ini. Masjid Arundel contohnya, menyediakan ruang pengiklanan di mana terdapat banyak brosur-brosur makanan halal diletakkan. Taman-taman tema di Gold Coast juga ada menyediakan beberapa makanan halal terpilih yang sentiasa dikemaskini maklumatnya dari masa ke semasa. Pastikan anda mendapat maklumat terkini melalui kaunter pertanyaan di dalam taman tema tersebut.
Golden Legends Malaysian Seafood Restaurant (Surfers Paradise) menawarkan juadah halal buat pelancong yang beragama Islam. Untuk perhatian, tidak semua makanan laut di Australia halal. Contohnya, ada yang memakan fish and chip tanpa menanyakan terlebih dahulu kandungan makanan kerana menyangkakan bahawa makanan laut adalah halal seadanya. Walau bagaimanapun, penyediaan fish and chip di sini biasanya memerlukan alkohol seperti beer dicampurkan ke dalam adunan tepung. Oleh itu sentiasa bertanya sekiranya anda ragu-ragu dengan status halal sesuatu makanan.
Seandainya pelancong memilih untuk memasak sendiri, pastikan bahawa pihak penginapan membenarkan tetamu untuk memasak. Bilik hotel di sini dilengkapi dengan smoke detector. Jika berbunyi, ada kemungkinan bahawa pihak penginapan akan mengenakan denda yang agak tinggi disebabkan mereka terpaksa menerima kunjungan kecemasan dari pihak bomba. Terdapat bahan-bahan mentah yang halal disediakan oleh pasaraya-pasaraya terkemuka di sini. Di antaranya adalah produk ayam berjenama Lilydale dan Steggles di pasaraya Coles. Walau bagaimanapun, elakkan produk ayam yang siap diadun dengan rempah kerana kebarangkalian bahawa ada campuran bahan yang tidak halal digunakan. Terdapat juga kedai daging (butcher) yang menyediakan sosej dan potongan daging ayam, lembu atau kambing halal di Gold Coast dan Brisbane (Wooloongabba dan Fortitude Valley).
6. Masjid/Ruang Solat
Di kawasan Brisbane, jangan melepaskan peluang untuk mengunjungi Masjid West End dan Masjid Holland. Masjid-masjid disini memiliki senibina yang unik. Masjid Arundel di Gold Coast juga memiliki senibina menarik dan menjadi tumpuan pada hari Jumaat. Terdapat sebuah gerai makanan di kawasan masjid yang menawarkan aneka makanan ringan yang hanya dibuka seketika pada waktu siang, sepanjang solat Jumaat berlangsung.
Selain itu, taman-taman tema di sini turut menyediakan ruang bersolat. Maklumat ini boleh didapati melalui peta yang disediakan oleh taman tema tersebut, ataupun dengan merujuk kepada kaunter pertanyaan di taman tema tersebut.
7. Pilihan Kedai Cenderamata
Sekiranya berada di Brisbane, jangan lepaskan peluang untuk meneroka kawasan Queen Street Mall. Queen Street menempatkan pelbagai kedai, pusat membeli-belah dan farmasi (chemist) yang menawarkan pelbagai produk dan cenderamata pada harga yang kompetitif.
Lokasi kedai cenderamata tersebut
Di Gold Coast pula, jangan lupa untuk singgah di sebuah kedai cenderamata yang dimiliki oleh seorang rakyat Malaysia di sana yang amat ramah dan sedia menawarkan harga yang terbaik. Kedai tersebut terletak di bangunan sama yang menempatkan Golden Legends Malaysian Seafood Restaurant dan juga hotel Mantra Legends, Surfers Paradise. Walau bagaimanapun, terdapat juga banyak kedai cenderamata lain di sepanjang jalan Surfers Paradise Boulevard.
8. Pusat Membeli-Belah
Berikut disenaraikan beberapa pusat membeli-belah yang terkenal di kawasan Brisbane dan Gold Coast.
Brisbane
Westfield (Garden City & Carindale)
Gold Coast
Cukuplah setakat ini. Jika ada masa, entri ini akan dikemaskini sedikit demi sedikit. Semoga maklumat yang ada ini membantu sesiapa sahaja yang berminat untuk melancong ke Gold Coast dan Brisbane. 😉